Page 45 - PN142
P. 45

 Bagi memenuhi selera pembaca muda sekarang, beliau memasukkan elemen moden dan mengaitkan cerita dengan keadaan semasa. Di samping itu, babak-babak takut kejut atau jumpscare turut digunakan untuk menarik perhatian pembaca. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip yang bertujuan mengajak pembaca melakukan kebaikan dalam setiap penghasilan novel. Beliau sangat bersyukur kerana karya-karya seram beliau terus mendapat sambutan yang menakjubkan tahun demi tahun. Inspirasi & Sokongan Menurut Anuar, inspirasi datang pada bila-bila masa. Beliau sering mencatatkan idea-idea yang tercetus dari mindanya terus ke dalam aplikasi nota di telefon pintar dan menyaringnya. Daripada idea- idea itu, beliau akan memilih yang terbaik dan sesuai untuk digarap menjadi sebuah novel yang menarik. Cabarannya datang selepas itu. Selepas idea dipilih, beliau akan mula mencari maklumat daripada pelbagai sumber. Kebanyakannya datang daripada pembacaan dan tontonannya di Internet. Jika perlu, beliau akan turun padang ke tempat-tempat yang berkaitan untuk membantu beliau melengkapkan hasil kajian. Semua input yang terkumpul akan dimasukkan dan diolah ke dalam manuskrip. Selain ibu bapa yang menjadi kekuatan utama, sokongan pembaca- pembaca novel beliau sudah semestinya menjadi pendorong utama untuk beliau terus menulis. Bagi Anuar, pembaca ialah tulang belakangnya ketika susah dan senang. Sebagai penulis, beliau tidak lari daripada mengalami fasa ‘down’. Namun beliau menjadi lebih kuat dan bersemangat untuk menulis setelah berinteraksi dengan para peminat serta menganggap pembaca-pembaca karyanya seperti keluarga sendiri. Media Sosial & Kedai Buku Pada masa kini, seperti sudah menjadi kemestian untuk setiap individu memiliki akaun dan aktif di media sosial apatah lagi bagi penerbit dan penulis buku. Anuar juga aktif di Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter. Selain untuk merapatkan hubungan antara pembaca dan penulis, media sosial juga menjadi tempat para peminat berkumpul dan penulis dapat mempromosikan karya mereka. Kuasa tular yang ada pada media sosial ini secara tidak langsung membantu dari sudut jualan novel sendiri dan memberikan pendedahan yang meluas kepada kumpulan pembaca yang tidak tercapai oleh penulis sebelum ini. Bagi Anuar, peranan kedai buku sangat besar dari segi jualan dan kelangsungan hidup penulis serta masih kekal relevan pada era e-buku ini. Walaupun bahan bacaan digital sudah mulai mendapat tempat di hati peminat tetapi buku fizikal tetap mempunyai kumpulan pembeli terbesar. Beliau juga menganggap Kedai Buku POPULAR berperanan besar dalam karier penulisannya. POPULAR Malaysia bukan sekadar memasarkan novel- novelnya di setiap cawangan kedai buku dan menerusi POPULAR ONLINE, malah turut serta mempromosikan karya- karyanya di laman media sosial. Beliau turut terlibat dalam program turun padang untuk mempromosikan novel beliau yang dianjurkan oleh pihak Kedai Buku POPULAR dan sambutan pembaca sangat memberangsangkan. Perkembangan Terkini & Harapan Sekarang, beliau dalam proses menghasilkan manuskrip memerihalkan tentang bangsa jin yang ideanya ini telah bermula sekitar tahun 2018 lagi. Karya terbaharu ini sangat istimewa kerana beliau berazam untuk menjadikannya sebuah novel yang tebal dan memberikan kepuasan buat peminat- peminat cerita seram. Anuar berharap industri penulisan tempatan akan terus pergi jauh hingga luar Malaysia dan tidak bertumpu di dalam negara sahaja. Novel-novel penulis Indonesia contohnya, dengan mudah mendapat tempat di hati pembaca tempatan tetapi agak sukar bagi penulis tempatan menembusi pasaran mereka sekarang. Beliau juga berharap agar suatu hari nanti, novel-novel tempatan terutamanya genre seram menjadi buruan pembaca dari luar negara. Nasihat beliau kepada penulis muda agar memperbanyak membaca. Dengan membaca, kita dapat menyerap ilmu yang terkandung dalam setiap karya dan akhirnya akan mematangkan hasil penulisan.. 142 popularnews - 45 


































































































   43   44   45   46   47